Kerjaya kelab Dino Zoff

Udinese, Mantova dan Napoli

Zoff pada tahun 1964.

Kerjaya Zoff bermula dengan kelam apabila beliau menghadiri ujian di Inter Milan dan Juventus semasa beliau berusia 14 tahun tetapi tidak berjaya kerana ketinggiannya yang tidak mencukupi.[12] Lima tahun kemudian, ketinggiannya bertambah sebanyak 33 sentimeter (beliau mengikuti cadangan neneknya, Adelaide untuk memakan lapan biji telur setiap hari),[13][14] beliau melakukan penampilan sulungnya di Serie A bersama Udinese pada 24 September 1961 dalam aksi kekalahan 5–2 kepada Fiorentina. Namun, Zoff tidak dipersalahkan dengan jumlah jaringan yang dibolosinya.[15] Zoff hanya melakukan empat penampilan pada musim sulungnya bersama Udinese, yang mana pasukannya tersingkir ke Serie B. Beliau beraksi pada musim berikutnya sebagai penjaga gol utama pasukan sekali gus membantu pasukanyna untuk kembali ke Serie A, sebelum beliau berpindah ke Mantova pada 1963. Di Mantova, beliau menghabiskan empat musim di sana dengan melakukan jumlah 131 penampilan.[16]

Prestasinya bersama Mantova telah menarik perhatian kelab-kelab besar manakala jurulatih pasukan Itali pada masa itu, Edmondo Fabbri ingin mengambilnya sebagai penjaga gol simpanan menjelang kejohanan Piala Dunia 1966. Namun, beliau akhirnya mengambil Enrico Albertosi, Roberto Anzolin dan Pierluigi Pizzaballa sebagai penjaga gol Itali. Pada tahun 1967, Zoff melakukan perpindahan ke Napoli sebagai pertukaran dengan penjaga gol Claudio Bandoni yang menelan kos perpindahan sebanyak 130 juta lira. Beliau menghabiskan lima musim di Naples dengan melakukan 143 penampilan liga bersama kelab itu. Pada masa itu, beliau semakin melonjakkan pengiktirafannya di Itali lalu membolehkannya melakukan kemunculan sulung bersama pasukan Itali pada tahun 1968 serta mendapat tempat dalam skuad Itali ke kejohanan Euro 1968 dan Piala Dunia 1970.[17][18][19]

Juventus

Zoff (kanan) bersama Altafini ketika di Juventus pada musim 1972-73.

Berikutan persembahannya bersama pasukan Itali dan Napoli, Zoff diikat oleh Juventus pada tahun 1972 semasa beliau berusia 30 tahun. Sepanjang tempoh sebelas tahun beliau bersama Juventus, Zoff memenangi enam gelaran Serie A, dua trofi Coppa Italia dan satu Piala UEFA serta berjaya melangkah ke dua final Piala Eropah.[20] Pada tahun 1973, beliau menduduki tempat kedua dalam anugerah Ballon d'Or selepas meraih kejayaa Serie A tetapi pasukannya gagal melengkapkan kejuaraan treble selepas mengalami kekalahan dalam aksi final Piala Eropah dan Coppa Italia pada tahun yang sama. Bahkan, Juventus juga tewas dalam final Piala Antara Benua.

Secara keseluruhannya, Zoff telah melakukan 479 penampilan untuk Juventus dalam semua kejohanan di samping tampil dalam 330 perlawanan liga bersama kelab (kesemuanya perlawanan secara berturut-turut; turut menjadi rekod kelab),[21] 74 perlawanan Coppa Italia, 71 perlawanan kejohanan Eropah dan empat perlawanan lain melibatkan kealb. Beliau kini pemain keenam Juventus yang memegang rekod penampilan terbanyak dalam semua kejohanan, pemain ketujuh yang melakukan kemunculan terbanyak di Serie A, pemain ketiga yang melakukan penampilan terbanyak di Coppa Italia, pemain ketujuh yang melakukan penampilan terbanyak di kejohanan Eropah dan pemain kesembilan yang melakukan penampilan terbanyak di kejohanan antarabangsa.[22]

Zoff meraih kejuaraan Serie A terakhirnya bersama Juventus ketika musim 1981-82 serta memenangi Piala Dunia 1982 bersama pasukan Itali pada tahun yang sama, di mana beliau sebagai kapten pasukan. Pada musim berikutnya iaitu musim terakhir kariernya, Zoff menjuarai Coppa Italia serta berjaya mara ke final Piala Eoropah kedua dalam kerjayanya pada tahun 1983; Juventus dikecewakan oleh Hamburg 1-0 pada 25 Mei selepas Zoff gagal menyelamatkan tendangan jarak jauh Felix Magath dalam perlawanan terakhir kariernya. Penampilan liganya yang terakhir hadir pada 15 Mei 1983 pada aksi menewaskan Genoa di gelanggang sendiri.

Rujukan

WikiPedia: Dino Zoff http://www.sportsnet.ca/soccer/dino-zoff-hospitali... http://edition.cnn.com/2009/SPORT/football/02/05/b... http://sportsillustrated.cnn.com/soccer/world/2002... http://www.englandfootballonline.com/TeamHons/Hons... http://www.espnfc.com/euro2000/news/20000704itazof... http://www.espnfc.com/fifa-world-cup/4/blog/post/1... http://www.eurosport.com/football/dino-zoff_prs336... http://www.goldenfoot.com/en/legends.html http://www.ilsole24ore.com/art/SoleOnLine4/Sport/e... http://www.rsssf.com/miscellaneous/europa-poy.html